Kiriman rasmi khusus untuk Adam...


Wahai suami..,

Kumulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihan mu juga.Ya Allah… aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhirat kami. Mudah-mudahan keluh-kesah, resah-gelisah kami menerima ketentuan-Mu ini, Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya kami sebagai hamba-Mu yang berdosa. Semoga kesedihan dan kebimbangan kami dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju-Mu di jalan mujahadah.Kami lemah ya Allah… namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah… ujian ini menjadi tebusan pada dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba ya Allah… ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina.

Syukur ya Allah … kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasai hakikat cinta-Mu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.

Suamiku..,
Suratmu telah kubaca. Terima kasih sayang. Membacanya seperti membaca hatiku. Aku tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya menulis, siapa lagi yang sebenarnya membaca… kerana suratmu adalah suara hatiku… suara hati kita bersama! Aku cuba tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Perpisahan sementara ini sesungguhnya mendekatkan hati dan menyuburkan cinta kita. Kita akan semakin rapat oleh perpisahan ini… insya Allah. Yakinlah kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan lebih manis. Perpisahan sementara ini adalah harga kepada saat yang pasti tiba itu, insya Allah.

Aku pergi menuju Allah… memperbaharui langkahku, menguatkan jiwakku untuk memburu kecintaan-Nya… dan dengan itu aku akan mencintaimu dan anak-anak dengan cinta yang lebih suci. Kau ikutlah disisiku sayang… di jalan baru yang belum tentu berapa pula likunya. “Maniskanlah malam-malammu dengan solat dan munajat. Dan sibukkanlah siangmu dengan penuh tanggung jawab dan bersemangat.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya dengan bersungguh-sungguh. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan berbagai alasan dan kemalasan. Aku gembira dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya sakit dan ubatnya pahit.”Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu:

“Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa suamiku sepertimana aku telah redha dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin dan berharap terhadap-Mu. "Ya Rahim..Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanyadengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rabbi…

Lembutkan hati suamiku agar mudah dia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu.

Sayang,
Hikmah ujian yang menimpa kita terlalu banyak. Ia ubat dan baja rumah tangga yang telah kita bina sekian lama. Cinta kita sesungguhnya tidak pernah berubah… tetapi ia perlu kemanisan dan hiasan baru supaya serinya bertambah.Cinta kita kuat getarannya, namun kurang matang. Kita terlalu menurutkan perasaan. Baik aku mahupun kau kekadang tersasar kerana “terlalu” cinta. “Terlalu” menjerumuskan kita ke jurang “melulu”. Bila melulu kita akan lepas dari kendali cinta sejati – Allah!

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta telah terputus dari cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta-cinta yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini… pertemuan pun masih perpisahan. Tapi bila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan.

Allah telah selamatkan kita dari perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini pada cinta dan perkahwinan kita. Ia menguatkan kembali ikatan perkahwinan kita.

Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata-mata. Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Makhluk yang terikat dengan kita atas nama – suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Musnah sementara dan akan musnah abadi. Tegasnya, perpisahan ini adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, bapa, anak-anak dan sanak-saudara. Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila.

Ketika itu jika hati kita tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup dan paling khuatir terhakis atau tercabutnya iman



Di daerah ini kendali diri mesti kuat. Bila lalai sahaja dari mengingati Allah, deraan perasaan akan segera datang. Maka ketika itu terkial-kiallah kembali hati ini mencari kekuatannya… iman. Prasangka, bimbang yang bukan-bukan mesti dilontar jauh-jauh. Tawakal mesti dibina. Berserah dan pasrah sudah wajib, mainan “kalau”, “jika”, “nanti” mesti dihentikan. Alhamdulillah… Allah setakat ini telah mentakdirkan banyak perkara positif sedangkan sebelumnya aku diserang oleh prasangka yang negatif.

Yang dirindu,

Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugas dan tanggungjawabmu yang sedia ada dan bertambah lagi. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Samada hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia.

Orang yang “duji” mudah melakukan perubahan. Tidak boleh sekali-kali digugat kekesalan dan penyesalan masa lampau. Nanti akan timbullah “kalau tak begini dulu… tak lah begini, kalau, kalau, kalau…. Ini akan menyebabkan kita putus asa dan lemah menghadapi hidup. Apa yang penting, katakan, ini realiti, ini takdir, yang sudah ditentukan sejak azali.

Sama seperti pertemuan kita, perkahwinan kita, kelahiran anak-anak kita, percintaan kita, kasih sayang kita… dan lain-lain. Cuma bezanya, yang baik-baik dan manis-manis… mudah kita terima. Yang buruk-buruk dan pahit-pahit… susah kita terima. Sedangkan ilmu di sisi Allah kita tidak tahu, mana hakikatnya yang manis, mana yang pahit, mana yang buruk, mana yang baik? Bukankah di sisi Allah ada yang lebih tersirat?

Bertemu tak jemu. Berpisah tak gelisah. Jangan bersedih… berani dan tabahlah demi cinta Allah!

1 comments:

awan biru berkata...

Semoga Allah mengasihimu dan diriku sepertimana DIA mengasihi hamba2nya yang soleh...InsyaALLAH...
"ربنا لاتزغ قلوبنا بعد إذهديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب"....أمين

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...