Di manakah semangat Badar Kubra...?

Menjadi tradisi kita di Malaysia untuk meyambut hari Nuzul Quran pada 17 ramadhan. walaubagaimanapun sekiranya kita mengkaji tentang tarikh sebenar penurunan Al-Quran maka kita akan ketahui 17 ramadhan bukanlah tarikh yang tepat mengenai peristiwa bersejarah tersebut.

mungkin ramai juga yang terlupa bahawa pada tarikh yang sama satu lagi peristiwa besar telah berlaku dalam sejarah Islam. Tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, peristiwa yang dinukilkan dalam Al-Qur’an sebagai Yaumul-Furqan (Hari Pemisahan di Antara Hak dan Batil) telah berlaku; peristiwa penting yang menjadi penentu kepada tertegaknya atau jatuhnya Islam; peristiwa yang menentukan sama ada yang hak atau yang batil yang akan selamanya menang; itulah peristiwa yang kita kenali sebagai peperangan Badar Al-Kubra!

Peristiwa Badar Al-Kubra, yang merupakan peperangan pertama bagi umat Islam, adalah satu peristiwa yang cukup penting kerana peristiwa tersebut menjadi penentu sama ada yang hak akan berada di atas kebatilan atau yang batil akan berada di atas yang hak. Apatah lagi, tentera Islam yang seramai 313 orang itu semuanya merupakan ‘orang-orang kuat’ Islam yang seandainya terkorban, pasti perkembangan Islam itu sendiri akan mati. Malah, peristiwa ini juga boleh menjadi kayu ukur, adakah kekentalan iman Islam akan menang atau puak musyrik akan mudah meleburkan tentera Islam. Atas sebab itulah, Rasulullah s.a.w. berdoa kepada Allah S.W.T. sebelum bermulanya peperangan, yang menggambarkan betapa penting dan besarnya perang Badar Al-Kubra tersebut;

Baginda Rasulullah s.a.w. berdoa: “Wahai Allah, kalau (pasukan Muslimin) ini sampai binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, jika Engkau menghendaki, Engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Dalam peristiwa inilah kita menyaksikan bagaimana Allah S.W.T. membuktikan janji akan pertolongan-Nya kepada orang-orang yang beriman dan berjihad di jalan-Nya. Dalam peristiwa ini jugalah kita menyaksikan bagaimana kesatuan dan kesepaduan umat Islam itu teruji dan terbukti. Strategi peperangan yang terhasil daripada musyawarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menjadi hujah betapa pentingnya musyawarah dalam membuat keputusan penting dalam sesebuah organisasi atau jemaah. Malah, dalam peristiwa ini jugalah terbukti keimanan para sahabat yang telah menyatakan iltizam mereka untuk bersama-sama dengan Rasulullah, walaupun menyedari bahaya yang menanti di hadapan. Namun, dek kekentalan iman dan keyakinan yang menebal akan janji Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, maka mereka terus mara di medan perjuangan.

Perhatikan ucapan Sa’ad ibn Muaz, mewakili golongan Ansar yang merupakan golongan terbanyak dalam barisan tentera Badar tersebut, yang menyatakan tekad mereka sekaligus menghilangkan kegusaran dan menghadirkan kegembiraan di hati Rasulullah s.a.w.: “Kami telah beriman kepadamu, dan kami bersaksi bahawa apa yang engkau bawa adalah benar. Atas dasar itu, kami telah menyatakan janji untuk sentiasa bersama, taat dan setia kepadamu. Wahai Rasulullah! Laksanakanlah apa yang engkau kehendaki, kami tetap bersamamu. Demi Allah! Seandainya engkau menghadapi lautan dan engkau terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersamamu juga. Tidak ada seorang pun di antara kami yang mundur dan kami tidak akan bersedih jika engkau menghadapkan kami dengan musuh esok hari. Kami akan tabah menghadapi peperangan dan tidak akan melarikan diri. Semoga Allah akan memperlihatkan kepadamu apa yang sangat engkau inginkan daripada kami. Marilah kita berangkat dengan kemuliaan Ilahi.”

Akhirnya dengan bantuan tentera daripada para Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T., tentera Islam yang hanya seramai 313 orang itu berjaya menumpaskan tentera Musyrik yang diketuai oleh Abu Jahal. Oleh sebab besarnya peranan dan nilai kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar Al-Kubra ini, para tentera Badar adalah merupakan mereka yang dikurniakan kemuliaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...